Wednesday, January 16, 2013
BELIA UNGGUL, BUKAN TUNGGUL
Nadi Belia mengambil kesempatan ini menasihati golongan belia supaya berfikiran lebih matang di samping mereka mempunyai keberanian untuk menerokai sesuatu yang baru. Belia harus berfikiran lebih jauh di dalam setiap aspek termasuk politik, ekonomi dan sosial dan seharusnya mengambil tahu perihal dalam dan luar negara supaya dapat menilai sesuatu agenda dengan lebih matang. Ini kerana belia adalah pewaris bagi menerajui kesinambungan serta kesejahteraan Malaysia.
Kesedaran dalam merebut peluang untuk memiliki ilmu harus ada di dalam setiap diri belia kerana masa depan di lihat semakin mencabar. Menyentuh isu belia yang merancang untuk merantau ke destinasi yang baru, belia harus melihat keadaan di suatu tempat baru itu secara menyeluruh supaya mempunyai pemikiran yang luas serta berpandangan jauh.
Dengan memiliki ilmu pengetahuan serta kemahiran, ianya dilihat mampu untuk dijadikan sebagai benteng diri dalam menempuh arus perdana yang getir. Sebagaicontoh beberapa perkara yang telah berlaku di dalam negara ini seperti belia dimanipulasikan oleh pihak tertentu sehingga ada segelintir belia terjebak dalam memperjuangkan kepentingan fahaman parti politik tertentu, tanpa mereka mengetahui apakah niat sebenar pihak berkenaan. Fenomena sebegini sebenarnya telah merugikan belia itu sendiri. Senario sebegini tidak akan wujud sekiranya belia mulai sedar dan memandang sudut ilmiah sebagai rujukan.
Berpandangan kurang tepat dan menganggap suara belia tidak akan membawa apa-apa perubahan di dalam negara harus dikikis kerana peranan belia dalam memacu negara dilihat amat penting. Nadi Belia menyokong pembentukkan Parlimen Belia hasil inisiatif kerajaan dan MBM sekarang ini yang dilihat memberi peluang kepada belia untuk menyuarakan pendapat, pandangan, mahupun menyumbang idea.
Strategi bijak yang direncanakan oleh kerajaan ini diyakini mampu membina karakter belia menjadi lebih unggul, berkarisma, cerdas dan dinamik. Bukti ini cukup menunjukkan kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap perkembangan belia dan menyokong padu penyertaan belia di dalam proses menggerakkan jentera pembangunan negara.
Dengan adanya platform untuk belia menyuarakan pelbagai pandangan, belia juga harus mempunyai matlamat yang jelas dalam mengenali erti kehidupan dan berusaha lebih gigih lagi untuk berjaya.
Pada zaman ini belia haruslah berusaha untuk menggapai impian dan cita-cita, kreatif serta inovatif untuk bersaing merebut peluang yang boleh dijadikan punca rezeki. Di samping kita menumpukan perhatian di dalam memajukan sukan, belia haruslah bertekad, berazam, dan pandanglah sudut keilmuan serta milikinya kerana kehidupan merupakan perjuangan terbesar di dalam hidup kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
http://beliabangkit2013.blogspot.com/
ReplyDelete